Saturday, December 12, 2015

Kenangan Ho Chi Minh City (Part 1)

Salam buat semua.

Haihh.. Dah lama tak mencoret di sini. Terlalu sibuk dan hanya mampu jengah sahaja.

Ok, Sarah nak kongsikan pengalaman Sarah di Ho Chi Minh City seminggu yang lepas. 4 Disember 2015 sehingga 6 Disember 2015. 3 hari 2 malam.

Sebelum itu, izinkan Sarah kongsikan satu kata-kata dari Saidina Umar r.a.

" Anda  tidak akan kenal sahabat anda selagi anda tidak bermusafir bersama, makan bersama, tidur bersama". 

Jika salah, mohon betulkan Sarah ye :)

Sarah pergi bersama-sama 3 orang sahabat. Tika, Piroh dan Fisha. Kami pergi secara backpacker. 2 antara mereka sahabat rapat sejak diploma ( Tika dan Piroh). Ada yang sudah 4 tahun tidak bertemu. Seorang lagi (Fisha) adalah sahabat dari komuniti iaitu Ukhti NasyidFM. Sudah 2 tahun tidak berjumpa.

Pertemuan dan percutian kali ini sangat cantik Allah aturkan.

Berkumpul di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) jam 10:45 pagi. Dan terus bertolak ke KLIA2 dengan menaiki ERL (KLIA Express). Tambang tak silap Sarah RM26.50 dan bakal naik tahun hadapan (2016) kira-kira RM35-38.

Bertolak ke Ho Chi Min kira-kira jam 2:45 petang dan sampai dalam pukul 4:40 petang waktu Malaysia. Buat mereka yang tidak tahu, waktu Vietnam dan Malaysia berbeza 1 jam. Vietnam lewat 1jam dari Malaysia.


Pemandangan dari atas.

Setibanya di Tan Son Nhat International Airport (Saigon), kami terus mendapatkan beg yang ditempah luggage lalu keluar untuk mencari mana-mana money changer.

Satu kesilapan yang kami lakukan ialah langsung tidak membekalkan duit dong (matawang vietnam) ke sana kerana dengan niat ingin tukar semuanya sebaik tiba di Ho Chi Min. Keputusan itu dibuat saat akhir kerana money changer di TBS kehabisan duit dong sehari sebelum kami bertolak.

Kami berpakat untuk menukar sebanyak 2 juta dong dan ingin dibahagikan kepada 3 orang. Kebetulan Piroh sudah ada bekalkan 500 ribu dong. Hari tu kami tukarkan 1 juta dong bersamaan RM207. Tinggi sebenarnya. Jika dibandingkan kalau tukarkan di Malaysia sehari sebelum RM200.
Kebetulan kami pergi waktu Ringgit Malaysia jatuh. Jika nak dibandingkan dengan bulan Ogos-Oktober hanya RM185-RM190.

                                         Tan Son Nhat International Airport

Memang cubaan berani untuk bekalkan 2 juta 500 ribu untuk 4 orang. Kami bercadang untuk menggunakan duit dong hanya untuk hotel, teksi, makan dan cas-cas tambahan. Masing-masing hanya bekalkan kurang RM500 untuk kegunaan diri (memborong kain, cenderahati).

Selesai membuat penukaran wang, kami bergegas mencari simkad untuk memudahkan penggunaan internet sepanjang berada di sana. Kebetulan simkad MobilePhone sahaja berjaya dijumpai. Vodaphone yang diinginkan tiada. Tak mengapa,asalkan boleh diguna. Kami hanya beli 1 simkad dan berkongsi hotspot. Oh ya, harga untuk simkad 200 ribu dong.

Selepas itu, kami terus mendapatkan teksi. Ramai orang berpendapat untuk naik teksi Vinasun kerana harganya yang murah, kebiasaannya 230 ribu dong tetapi kami cuba untuk mendapatkan teksi selain Vinasun. Alhamdulillah kamimendapat perkhidmatan teksi yang memang disediakan di airport tersebut. Tak silap nama San Viet. Harga lebih murah iaitu 220 ribu dong. Yang lebih mengembirakan, kami diberi kad untuk diskaun sebanyak 30% sekiranya menggunakan perkhidmatan yang sama ketika balik nanti.

Dalam perjalanan ke hotel, sangat teruja sebenarnya. Penduduk sana kebanyakan menggunakan motosikal. Jalan sangat sesak. Dan kebanyakan mereka juga akan memakai penutup mulut mungkin atas faktor pencemaran udara dari kenderaan lain.

Dalam perjalanan ke hotel (6:00pm)

Sebaik sahaja sampai di hotel, kami disambut dengan baik. Pintu teksi dibuka dan semua beg kami diangkat oleh pekerja hotel. Nama hotel yang kami tempah ialah Thanh Long Hotel. Terasa teruja sebentar. Haha.

Masuk ke dalam kami terus mendapatkan seorang wanita di kaunter. Riak wajahnya kelihatan tidak mesra. Terbantut keterujaan kami. Kami terus mengeluarkan dokumen yang berkaitan dengan tempahan dan pembayaran. Tiba-tiba sahaja wanita berkenaan mengatakan kami tidak boleh guna bilik yang ditempah kerana kami menempah untuk 2 orang. Bilik tersebut kecil dan tidak sesuai.

Sebenarnya kami sudah sedia maklum akan keadaan bilik tersebut. Kami memang sengaja ingin merasai nikmat bersempit oleh sebab itu kami memilih untuk menempah bilik untuk 2 orang dan mereka juga tahu kami berempat. Rasanya tidak salah di situ kerana tiada syarat pun sebelum ini.

Wanita itu tetap berdegil untuk tidak membenarkan kami menggunakan bilik tersebut. Dia mengatakan silapnya kami menempah melalui Expedia ( Website kami menempah flight dan hotel). Agak tidak logik di situ. Sempat juga Sarah bertekak dan bertikam lidah dengan wanita itu. Mengikut pengalaman lepas dan dari kawan-kawan sebelum ini, hal ini sepatutnya tidak menjadi masalah. Ohh.. Mungkin hotel ini sahaja atau mungkin wanita ini sahaja yang bermasalah. Hal ini kerana pekerja yang lain hanya mampu diam dan kelihatan serba-salah.

Wanita itu mensyorkan kami untuk memilih satu bilik yang besar. Katanya sangat luas dan selesa. Kami tidak berminat. Bila berbincang, kami berfikir untuk menempah lagi satu bilik kecil yang sama tadi. Wanita itu tetap juga berdegil untuk kami memilih bilik yang besar. Bila Sarah berkeras, tiba-tiba sahaja dia katakan bilik yang sama sudah tiada. Haihhh.. Nampak sangat menipu.

Bila fikirkan berada di negara orang, ada baiknya mengalah sahaja.Wanita tadi kelihatan memang sudah tidak sennag dengan kami. Apa lagi dengan Sarah yang dari tadi asyik berkeras.Hahahaha. Lantaklah!

Akhirnya, kami terpaksa menerima bilik yang besar dan yang lagi mahal. 700 ribu dong terbang. Haha. Agak terilan kerana bilik yang ditempah terpaksa 'burn' begitu sahaja. Bila dipersoalkan, alasan yang sama,

" Silap menempah di Expedia. Berurusanlah dengan Expedia " ( Dalam berbahasa inggeris).

Malas nak memanjangkan hal, terima seadaanya. Pekerja yang dari tadi hanya tergamam, berubah riak muka lega sebaik sahaja kami senyum tanda mahu naik ke atas. Semua beg kami diangkat oleh mereka. Wanita tadi masih di kaunter dengan muka bengis yang tidak terkawal.  Hahaha. :P

Bekalan dari Malaysia tersusun bawah meja.

Alhamdulillah bilik yang kami dapat sangat besar, selesa dan sebenarnya berbaloi dengan harganya. Cuma nikmat untuk bersempit-sempit tu tak dapatlah nak rasa. Bilik air pun luas dan tab mandi pun besar. Hahaha. Itu pun nak cerita.

Nampak tak makanan yang tersusun bawah meja tu? Itu kerja Piroh dan itulah bekalan yang kami bawa dari Malaysia. Iyalah. Nak dapatkan makanan halal perlu berjaga-jaga dan harga pun mahal. Untuk jimat, bawalah bekal apa yang patut seperti maggi, roti dan lain-lain.

Berehat sebentar. Oleh kerana passport kami dipegang oleh pihak hotel tadi sehingga pukul 10.00 malam, kami tidurkan diri dulu. Tepat jam 10.00 malam, kami bersiap dan turun ke bawah untuk dapatkan passport lalu terus berjalan ke Ben Thanh Night Market. Kami bertanya kepada pekerja hotel mengenai laluan ke night market dan terus berjalan kaki ke sana. Perjalanan mengambil masa 10 minit dari hotel.

Ben Thanh Night Market

Niat hati hanya mahu survey barang. Ramai rakan-rakan yang pernah pergi cakap, barang di night market lebih murah berbanding waktu siang di Ben Thanh Market. Dalam survey tu, terbeli juga keychain dan beg yang ditempah orang. Biasalah orang sini, mereka sangat menghargai sesiapa yang membeli dengan mereka. Sampai orang tawar harga mati pun, ada kalangan mereka yang sanggup beri. Tetapi, kalau sekali kita berminat dengan satu barang, sentuh sikit barang tu, dan setelah puas mereka pujuk atau tunjuk satu-satu tiba-tiba tak beli memang mereka marah. Hahaha.

Selesai.

Hampir 2 jam kami berjalan di sekitar night market. Dah dapat apa yang kami mahu, terus berjalan kaki untuk balik ke hotel. Waktu mahu keluar dari night market, kami sedikit keliru kerana kami masuk di jalan lain dan keluar di jalan lain. Apapun, kami terus mencari jalan keluar. Sebaik sahaja dapat keluar terus kami langkahkan kaki untuk pulang. Setelah hamppir 10 minit berjalan, kami fikir yang kami salah jalan atau kata lain sesat. Tiada klu langsung untuk kami ingat jalan pulang.

Tekak sudah mula haus. Kami ternampak seorang wanita menjual air di tepi jalan dan ada 3 orang pelanggan ada bersama. Kami membeli 3 jenis air. 1 tin RM 3 hingga RM4. Sedikit terkejut sebenarnya. Hahaha. Dalam terkejut tu, tiba-tiba seorang lelaki bersuara, 

" Tak apa, saya bayar semua.. "

Sangat fasih berbahasa melayu. Tiada langsung pelatnya. Kami cuba menolak tetapi lelaki itu tetap berkeras untuk membayar air-air kami. Syukur. Itu namanya rezeki.

Kami meneruskan niat mencari jalan. Hampir setengah jam, kami berjaya jumpa jalan pulang. Syukur. Ini baru namanya cabaran dan pengalaman. Semua lalui sendiri tanpa pertolongan mana-mana kecuali dengan izinNya, Tuhan Maha Pencipta.

Sampai di hotel kami terus mengemas apa yang patut dan rehatkan diri. Esok masih banyak misi yang perlu lakukan. Untuk hari pertama sahaja banyak perkara kami dapat. Banyak perkara juga kami belajar. Hidup dengan pengalaman sangat indah.

Bahagian 2 akan bersambung....



Friday, December 11, 2015

Tahniah

Salam.



" Puisi bukan untuk si jiwa yang sunyi, bukan untuk manusia yang patah hati.
Tetapi untuk memelodikan ritma rasa, seperti apa warnanya dunia "

Tahniah buat sahabat tercinta untuk kelahiran buku dan karya sulung ini. Moga terus bekarya dengan penuh cinta.

Kawan-kawan dah ada buku. Kita bila lagi?

Doakan. Insya Allah. :)

Monday, November 16, 2015

Cerita Tentang Adik

Dengar khabar, esok akan keluar keputusan UPSR untuk adik-adik Tahun 6.
Adik aku, Nursyuhairah juga antara yang bakal menghadapi hari esok. Insya Allah dengan tenang.
Dia adalah adik yang sangat istimewa. Dari segala aspek. Dalam keluarga, dia agak berlainan berbanding yang lain. Tidak pada fizikal tetapi dari segi pemikiran, perbuatan dan pembelajarannya.
Dari kecil dia sering buat sesuatu diluar jangkaan dan berfikir diluar kotak fikiran. Pernah satu ketika, dia bertanya pada ayah,
"Ayah, kenapa kita islam?"
" Kenapa Allah buat kita? "
" Ayah, kenapa Allah tu satu, tidak dua? "
Dan lain-lain lagi.
Ayah jawab dengan berhemah dan tidak pernah mengecewakan. Memang dari kecil, ayahlah ensiklopedianya.
Masalah dalam pelajaran sangat ketara dan ayah berusaha sehabis baik untuk membantu dia dalam pelbagai aspek. Ayah seorang penyabar. Respect!
Dia juga pernah warnakan limau barli aku dengan cat rumah bewarna merun. Bukan sekadar itu, ditambah lagi dimasukkan separuh badannya dalam tong cat. Semestinya ayahlah yang akan setia membuang setiap sisa cat yang melekat ditubuhnya.
Aku antara insan yang selalu memarahinya dulu kerana sikapnya yang suka bertanya soalan yang sama berulang-ulang, perbuatannya yang sering peningkan kepala, ditambah lagi aku dilantik sebagai tutornya dirumah oleh ayah.
Tetapi dalam kekurangan itu, tidak ramai tahu banyak surah dan ayat suci Al-Quran ligat dalam fikirannya. Yang pasti, ayat 100 dinar, ayat2 lazim, al-mulk dan doa harian memang kuat diingatannya. Dia tidak menghafal tetapi rutinnya selalu mendengar. Kadang-kadang sendiri rasa malu.
Bila tanya ayah dan emak mengenai UPSR adik,
" Dia dah usaha. Insya Allah. "
Bila ditanya tuan punya badan berapa target untuk diri,
" 4A 1B"
" Apa yang B?"
" Bahasa Melayu. Sebab susah. "
4A 1B? Hahaha. Agak tinggi target tu. Walaupun hakikatnya kami tahu kemampuannya setakat mana. Apa pun, moga Allah mudahkan urusan adik. Moga jadi anak yang solehah dan cemerlang didunia dan akhirat.
Ok, dah mula rindu. ;')

Tuesday, October 27, 2015

Sentap

Salam..
Kadang-kadang Allah beri petunjuk dalam pelbagai cara. Secara tiba-tiba dan ada ketikanya terus ke hati. Terpulang kepada kita bagaimana menerimanya. Berubah kearah yang lebih baik, atau masih di situ menanti hidayah yang lain? Apa masih ada ruang hidayah selepas itu? Belum pasti, bukan?
Aku teringat sesuatu.
Sewaktu belajar di peringkat ijazah, aku tinggal dirumah sewa bersama beberapa orang rakan kolej. 2 antara mereka ialah adik-beradik. Kami sangat rapat bagai sebuah keluarga.
Satu hari si adik keluarkan satu syampu rambut baru untuk diguna.
" Akak, tengok ni adik beli syampu baru.. " tunjuk si adik kepada kakaknya.
" Hang beli syampu apa, adik? " Si kakak kehairanan.
" Safi Shayla.." kata si adik dengan bangga sambil menayang botol syampu Safi Shayla yang berwarna biru.
" Aku tak boleh pakai ni adik. Aku tak pernah pakai. Satgi rambut aku kembang sebab aku dah biasa pakai Rejoice." Kata si kakak sambil memegang rambutnya yang halus.
" Memangla. Siapa kata nak bagi kat hang.. Ni Syampu Shayla. Syampu 'Untuk Wanita Bertudung'. Yang pakai tudung je la boleh. " si adik ketawa kecil.
" %&*#! " Sempat si kakak melepas geram. Sentap. Haha.
Aku yang berada di situ pun ketawa kerana faham mesej yang ingin disampaikan. Pada masa yang sama, aku juga turut sentap dengan tagline yang digayakan oleh si adik tadi.
" Syampu 'Untuk Wanita Bertudung ' ."
Sebelum ni dengar kat TV, tak sentap pula. Kali ni, menikam kalbu. Menusuk ke hati. Huhu. Lihatlah, betapa halusnya teguran Allah ingin sampaikan. Hanya melalui si adik.
Aku masih belum sempurna tetapi sedang cuba untuk kuat di jalanNya. Moga mampu bertudung penuh. Moga mampu menjaga aurat. Moga ikhlas dalam segalanya. Moga aku mampu lakukan semuanya kerana DIA, Allah Tuhan Pencipta. Oh.. Bukan aku, tapi kita! Ya, kita!


Friday, October 23, 2015

Bila Allah Izin

Salam.. 

Dalam hidup ini, tak semua Allah beri lengkap dalam hidup seseorang hamba. Kenapa? Sedangkan kita ini hambaNya. Yang mengabdikan diri kepadaNya. Ya. Betul. Tetapi tidakkah terfikir jika kita diberi segala-galanya, dilimpahkan dengan pelbagai kesenangan, pasti.. Dan pasti kita tidak akan meminta apa-apa lagi daripadaNya. Tiada lagi doa dan tiada lagi tangisan. Begitu, bukan?
Maka, bersyukur seadanya. Ya, kita amat perlukan sesuatu tetapi tidak menjadi milik kita. Sakit. Sakit terasa. Tidakkah kita terfikir, sakit yang dirasa itu mampu membuahkan rasa pengabdian yang tinggi kepadaNya. Dengan cara apa? Pastinya dengan berdoa. Meminta padaNya.
Jangan dirisaukan jika belum lagi dapat apa yang dihajatkan. Usah dibimbangkan jika belum capai apa yang dimpikan. 
Sarah ingin kongsikan sesuatu.
Sarah ada seorang sahabat. Orangnya sangat baik. Akhlaknya mulia bagi Sarah. Dia bercita-cita tinggi dan seorang yang tekun belajar. Sayangnya, dia sentiasa diuji tidak pernah dapat markah yang tinggi dalam pelajaran walaupun sudah gigih berusaha. Solat fardu sentiasa di awal waktu jika dibandingkan Sarah yang sering kali culas dalam bab-bab solat (Ketika itu). Al-Quran menjadi santapan harian. Tidak muliakah sebegitu kawan-kawan? Mulia kan?
Pada masa yang sama, dia meminati seorang hamba Allah dalam diam. Seorang jejaka yang agak baik dari segi penampilan dan tingkah laku. Ok, abaikan dulu hal jejaka itu. Berbalik kepada sahabat tadi, dia selalu berkata kepada Sarah..
" Kenapa aku tak pernah dapat markah yang baik sedangkan aku tak pernah putus berusaha? "
Sarah hanya mampu diam dan berfikir. 
"Allah uji dia dengan cara begini sedangkan aku? Usahaku hanya sedikit tetapi markah aku selalu tinggi. Nikmat apakah itu? Adakah nikmat yang aku dapat itu istidraj?" 
Sentap.
Berkali-kali juga Sarah lihat tangisan sahabat itu. Hampir setiap kali ujian. Sehingga satu masa, Sarah menemaninya mengulangkaji. Sarah terdetik untuk bertanya.
" Apa kau rasa bila kau dah berusaha tetapi kau tak berjaya? Kau tak dapat apa yang kau nak? Kau marah? Geram?"
Sarah cuba untuk mengorek isi hatinya. Cuba untuk memahami.
" Tipulah dulu aku tidak marah. Tidak geram. Sedih. Sekarang tidak lagi. "
Senyuman terukir di wajah si tabah itu.
" Kenapa? Bukankah kau belum dapat apa yang kau inginkan?"
Sarah menyoal lagi. Pelik. Aku ingin Sarah.
" Tak. Tidak marah. Tidak geram. Mana mungkin aku boleh marah dengan apa yang terjadi pada aku. Jika aku marah, bermakna aku marah dengan Tuhan. Jika aku geram, bermakna aku geram pada Tuhan. Kerana semuanya kerja Tuhan, kan?"
Keningnya terangkat satu memandang Sarah. Sarah hanya mampu menelan air liur. Tiada kata.
"Kau tahu bagaimana rasanya di sayang Tuhan? Beginilah. Dengan keadaan aku ini. Aku yakin Allah uji sebegini kerana Dia sangat sayang pada aku. Jika tidak, Dia tidak akan uji aku dengan sesuatu yang mampu merobek hati aku. Aku tidak kesal. Kerana semua itu Allah belum izinkan untuk aku. Belum tiba untuk aku. Sekarang, rasalah pahitnya dulu. Nanti aku akan rasa nikmatnya yang sangat manis. Manis!"
Senyum lebar terukir lagi.
" Jadi aku? Allah sayangkah?" Hati Sarah terdetik. Ohh.. Abaikan isi hati Sarah itu. Harus muhasabah diri.
" Kau yakin, kau akan dapat apa yang kau nak? Kau yakin kau akan dapat Dekan akhir semester ni?"
Sarah sengaja menguji dengan soalan yang agak tidak patut ketika itu.
" Aku yakin Allah belum izinkan aku dapat apa yang aku nak. Aku yakin dengan kuasa dia. Bukan Anugerah Dekan yang aku kejar. Mungkin bukan milik aku tetapi berkat sabar dan kesungguhan aku, tak mustahil Allah akan hadiahkan untuk aku. "
" Jadi, bila kau rasa kau akan dapat apa yang kau nak? Impian kau? Anugerah Dekan kau?" Sengaja Sarah uji lagi.
" Bila Allah izin.." Matanya memandang tepat mata Sarah dan senyuman masih terukir. Semakin lebar dan semakin manis.
Fuhhh! Makan dalam.
Sehingga Sarah tamat belajar, sahabat Sarah itu masih lagi bergelar pelajar. Dan masih gigih berusaha. Hampir setiap hari akan tinggalkan pesanan pada Sarah untuk titipkan doa buatnya dalam setiap doa Sarah.
Allah Maha Adil dan Maha Baik Hati.
Sehingga satu hari, sahabat Sarah itu menelefon Sarah. Suaranya jelas menunjukkan dia sedang gambira dan bahagia.
" Kau tahu? Hajat aku sudah diizinkan Tuhan."
Sarah terdiam. Terkejut.
" Hajat apakah?" Sarah mungkin terlupa ketika itu.
" Allah sudah izinkan aku untuk berjaya. Berkat usaha dan doa kamu juga sebagai sahabat aku, Anugerah Dekan jadi milik aku sekarang! Allahu Akbar.."
Kedengaran suaranya bergetar dihujung talian. Di sambung pula dengan gelak ketawa bahagia. Siapa tidak bahagia. Keinginan tercapai. Tamat belajar dengan cemerlang.
" Cinta Tuhan itu unik, kan? Sekarang kau percaya? "
Ya. Percaya. Sangat percaya. Begitu juga kalian kan, kawan-kawan? RahmatNya sangat luas. Kadang kita mengeluh tentang apa yang belum menjadi milik kita. Kadang kita merasa marah pada diri, tak dapat tunaikan hasrat diri.
Tidakkah kita terfikir, Allah sangat rindukan doa hambaNya. Bukan meminta bila perlu. Buka merintih bila jatuh. Hakikatnya kita perlukan Dia setiap masa. Jika sesuatu yang dirancang, tak berjalan seperti yang dihajatkan.. Sabar. Mungkin belum tiba masanya.
Bukan sahaja tentang belajar. Tentang kerja, tentang jodoh. Tak perlu bertanya tentang ketidakcukupan orang lain. Kita pun belum miliki semua.
" Bila nak kerja?"
Bila nak kahwin?"
"Bila nak ada anak"
Lupuskan. Lupuskan soalan sebegitu. Mungkin bila tiba saat kita merasa, baru nak mengadah semua. Cukup yakin dengan apa yang telah dan akan ditentukan olehNya.
Ohh ya. Pasal jejaka tadi, nanti Sarah sambung kemudian. Kisahnya menarik :)

Tuesday, October 20, 2015

ZINE - JEREBU

Salam buat semua.

Jerebu di luar kelihatan semakin teruk. Sarah pula terpaksa cuti kerja hari ni atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan. 

Jadi, masa yang terluang bolehlah diisi dan dinikmati dengan baik walaupun bau asap semakin kuat dihidu.

Kalian boleh dapatkan karya ini dengan percuma. Tak rugi pun download untuk tambah bahan bacaan.

Kalian boleh dapatkan DI SINI.



Ok, Sarah nak sambung baca #ZineJerebu sambil makan buah tembikai dengan penuh nikmat. Moga esok kembali sihat untuk bekerja. Jangan lupa jaga kesihatan ya!



Wassalam.




Saturday, October 10, 2015

Petunjuk Tuhan

Salam teman-teman.

Kadang-kadang peluang dan petunjuk untuk berubah acapkali diundang Tuhan.

Tetapi hati degil. Keras.

Berkali-kali Dia beri kita kesempatan, tetapi kita sering lupa dan ulang kesilapan.

Syukur, Dia tidak jemu memberi peringatan dan petunjukNya.

Allah, Tuhan Yang Maha Baik.


-sarahlee-

Tuesday, October 6, 2015

Tentang Sesuatu



Salam.

Teman,
Mahu tahu sesuatu?
Tentang apa? Oh.. Pastinya tentang aku. Tidak mungkin tentang orang lain.

Semalam, aku gopoh-gapah mengejar yang aku panggil impian. Hingga satu masa, aku jatuh.

Jatuh? Ya... Jatuh tersungkur.
Sakit, teman.

Jatuh yang bukan biasa-biasa. Sakitnya memerit.
Fuhh.. Pedih.

Aku termangu sendirian. Berfikir.

Dia mana silap aku? Kenapa aku bisa jatuh sedangkan perjalananku sempurna. Jauh aku termenung sambil merawat rasa sakit.

Termenung lagi...
Berfikir lagi...

Oh! Allah...
Aku sudah tahu! Kamu mahu tahu, teman?
Aku malu.

Semua kerana...
Aku jauh dari Dia.

Dia? Siapa?
Dia, Allah. Tuhan kita.
Tuhan Yang Maha Pencipta dan juga
Tuhan Yang Maha Memberi tiap ketika.

Aku selalu curang padaNya,
sedangkan hanya Dia yang layak aku cinta.
Aku sering alpa dengan dunia,
Padahal Dia pemilik segalanya.
Aku terlalu gigih berusaha,
tetapi tiada masa untuk meminta (doa).

Terasa makin jauh. Malu.

Hari ini aku tetap gigih.
Gigih mengejar impian itu. Impian yang sama.
Tetapi tidak kosong. Bersama nikmat cintaNya.
Ya, pasti dengan cintaNya.

Moga-moga,
Jika aku kembali jatuh,
aku tahu Dia tidak jauh.
Ada. Ada dengan aku agar terus patuh.

-sarahlee-








Thursday, October 1, 2015

Beautifool

Salam.

Semalam, Sarah diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk berjumpa dengan Kak Dell, (Nurdilla Zaini). Syukur.

Kak Dell sanggup datang ke rumah untuk hantarkan 'Beautifool'.

Kami sempat berbual panjang dan banyak perkara Kak Dell kongsikan.

Hampir 5 jam. Seronok!

Oh, Ya. Sarah sudah mula membaca 'Beautifool' dan sudah hampir ke pengakhiran.

Suka segala kandungannya.

Ada ilmu baru yang Sarah dapat. Berbaloi!




Thursday, September 3, 2015

Ayah

Ayah bilang sama aku,
Tak perlu aku korbankan sesuatu,
Hanya untuk orang sayangkan aku.

Ayah bilang sama aku,
Tak perlu aku bazirkan waktu
Untuk mereka yang belum tentu.

Untukmu ayahku,
Anakmu ini amat tahu
Tiap katamu membawa sesuatu.

Mohon percaya sama aku,
Hidupku ini hanyalah satu,
Membahagiakanmu hingga habis hayatku.

Aku,
Anakmu.


-Sarah Lee-


Saturday, June 20, 2015

Ceria Tika Diuji



Kau caci?
Kau maki?
Ohh..
Hasad dengki.


Apa aku hairan dengan kau punya hati
Kerana aku tahu,
Aku punya Tuhan Yang Maha Mengerti...


-Sarah Lee-

Harapan Dan Tujuan



Melangkah dengan harapan
Teguh bersama impian

Kerana

Mencipta semuanya tidak seindah mimpi
Tujuan hidup pastinya punya erti.


Sarah Lee
30052015

Dunia Baru


Salam.

Alhamdulillah.. Sudah 2 minggu berada di alam pekerjaan. Terasa sekelip mata semuanya berlalu. 4 Februari 2015 mula praktikal di Institut Sukan Negara (ISN), 30 April 2015 berakhir praktikal, 28 Mei 2015 Final presentation, dan 8 Jun 2015 sudah mula bekerja. Sangat pantas semuanya.

Syukur. Allah kurniakan rezeki. Allah mudahkan semuanya. Satu pengalaman baru. Dunia pun, dunia baru. Walaupun sibuk dan kerja tak menang tangan, rasa sangat gembira. Mungkin inilah detik permulaan untuk Sarah mulakan langkah. Banyak yang perlu dikejar dan banyak yang ingin dilakukan. Moga semuanya dipermudahkan.

Ameen.

Perpisahan Itu

PERPISAHAN ITU

Aku merenung kembali
Akan kenangan yang tersimpan rapi
Sebuah perpisahan yang melukakan hati
Tapi bagiku redhaNya biarlah pengganti

Ku mensyukuri akan perpisahan itu
Kerana ku yakin Kau Maha Mengetahui
Dia bukan untukku

Jauh di sudut hati ini
Mendoakan hidayah buatnya
Agar terpandu selalu di landasanNya
Dikurniakan kebahagiaan
Dan insan yang terbaik untuknya

Kekecewaan yang dirasakan itu
Begitu menyedarkan aku (Menyedarkan aku..)
CintaNya jalan segala kebahagiaan
Bersyukurnya aku (Bersyukurnya aku..)
Betapa Dia cintakan aku

Moga diampunkan dosa-dosa lalu
Ku bermohon dikurniakan kebahagiaan abadi
Bantulah aku...
Terimalah aku...
Damaikan gelora hati ini

Lirik: Sarah Lee
Lagu/Penyanyi: Wan Azri



Salam semua. Sengaja Sarah nak kongsikan hasil video klip yang pernah Sarah dan kawan-kawan hasilkan untuk salah satu subjek waktu kolej sebelum ni.

Sebenarnya lirik ni dibuat pada 5 Januari 2012 dan video ni dibuat pada Disember 2013. Kebetulan waktu tu pensyarah minta hasilkan video klip dari lagu ciptaan sendiri dan kawan-kawan sepakat untuk menggunakan lirik ciptaan Sarah yang sekian lama tersimpan. Dalam banyak-banyak lirik, 'Perpisahan Itu' menjadi pilihan.

Walaupun video ni biasa sahaja, bagi Sarah yang waktu dan ketika itu masih baru dalam menghasilkan video, rasa berbangga dan bersyukur mampu buat sebaik ini. Hihihi. Penyanyi lagu ni pula merupakan salah seorang rakan blogger yang ketika tu Sarah aktif dengan blog Pelangi Intisar yang sebelum ni. Hahaha. Rindu rakan-rakan blogger dari blog tu.

Banyak lirik buat tapi baru 2 menjadi lagu, 1 menjadi video klip. Menulis sebab minat. Perlahan-lahan kayuh. Banyak yang masih boleh dan perlu belajar. Ini dulu sebab campur berangan kononnya nak jadi komposer hebat. Hihi. Nukilan untuk diri sendiri pun dah cukup. Hahaha!

Salam Perkenalan

Assalamualaikum..
Alhamdulillah, masih diberi nafas untuk berada di muka bumi ini. Untuk pengetahuan kalian, blog ini adalah penyambungan dari blog lama Sarah, www.khairaintisar.blogspot.com yang sekian lama Sarah sepikan. Hal ini kerana, akaun untuk blog tersebut tak dapat dibuka dan tidak diketahui puncanya. Sarah berhajat mahu jadikan blog ini sebagai satu blog umum untuk tatapan semua berbanding blog lama Sarah yang banyak berkongsi mengenai dunia Sarah sendiri. Buat pembaca lama Sarah, terima kasih kerana banyak memberi semangat. Jumpa di post akan datang. Wassalam.
© Pelangi Intisar | Blogger Template by Enny Law