Saturday, December 12, 2015

Kenangan Ho Chi Minh City (Part 1)

Salam buat semua.

Haihh.. Dah lama tak mencoret di sini. Terlalu sibuk dan hanya mampu jengah sahaja.

Ok, Sarah nak kongsikan pengalaman Sarah di Ho Chi Minh City seminggu yang lepas. 4 Disember 2015 sehingga 6 Disember 2015. 3 hari 2 malam.

Sebelum itu, izinkan Sarah kongsikan satu kata-kata dari Saidina Umar r.a.

" Anda  tidak akan kenal sahabat anda selagi anda tidak bermusafir bersama, makan bersama, tidur bersama". 

Jika salah, mohon betulkan Sarah ye :)

Sarah pergi bersama-sama 3 orang sahabat. Tika, Piroh dan Fisha. Kami pergi secara backpacker. 2 antara mereka sahabat rapat sejak diploma ( Tika dan Piroh). Ada yang sudah 4 tahun tidak bertemu. Seorang lagi (Fisha) adalah sahabat dari komuniti iaitu Ukhti NasyidFM. Sudah 2 tahun tidak berjumpa.

Pertemuan dan percutian kali ini sangat cantik Allah aturkan.

Berkumpul di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) jam 10:45 pagi. Dan terus bertolak ke KLIA2 dengan menaiki ERL (KLIA Express). Tambang tak silap Sarah RM26.50 dan bakal naik tahun hadapan (2016) kira-kira RM35-38.

Bertolak ke Ho Chi Min kira-kira jam 2:45 petang dan sampai dalam pukul 4:40 petang waktu Malaysia. Buat mereka yang tidak tahu, waktu Vietnam dan Malaysia berbeza 1 jam. Vietnam lewat 1jam dari Malaysia.


Pemandangan dari atas.

Setibanya di Tan Son Nhat International Airport (Saigon), kami terus mendapatkan beg yang ditempah luggage lalu keluar untuk mencari mana-mana money changer.

Satu kesilapan yang kami lakukan ialah langsung tidak membekalkan duit dong (matawang vietnam) ke sana kerana dengan niat ingin tukar semuanya sebaik tiba di Ho Chi Min. Keputusan itu dibuat saat akhir kerana money changer di TBS kehabisan duit dong sehari sebelum kami bertolak.

Kami berpakat untuk menukar sebanyak 2 juta dong dan ingin dibahagikan kepada 3 orang. Kebetulan Piroh sudah ada bekalkan 500 ribu dong. Hari tu kami tukarkan 1 juta dong bersamaan RM207. Tinggi sebenarnya. Jika dibandingkan kalau tukarkan di Malaysia sehari sebelum RM200.
Kebetulan kami pergi waktu Ringgit Malaysia jatuh. Jika nak dibandingkan dengan bulan Ogos-Oktober hanya RM185-RM190.

                                         Tan Son Nhat International Airport

Memang cubaan berani untuk bekalkan 2 juta 500 ribu untuk 4 orang. Kami bercadang untuk menggunakan duit dong hanya untuk hotel, teksi, makan dan cas-cas tambahan. Masing-masing hanya bekalkan kurang RM500 untuk kegunaan diri (memborong kain, cenderahati).

Selesai membuat penukaran wang, kami bergegas mencari simkad untuk memudahkan penggunaan internet sepanjang berada di sana. Kebetulan simkad MobilePhone sahaja berjaya dijumpai. Vodaphone yang diinginkan tiada. Tak mengapa,asalkan boleh diguna. Kami hanya beli 1 simkad dan berkongsi hotspot. Oh ya, harga untuk simkad 200 ribu dong.

Selepas itu, kami terus mendapatkan teksi. Ramai orang berpendapat untuk naik teksi Vinasun kerana harganya yang murah, kebiasaannya 230 ribu dong tetapi kami cuba untuk mendapatkan teksi selain Vinasun. Alhamdulillah kamimendapat perkhidmatan teksi yang memang disediakan di airport tersebut. Tak silap nama San Viet. Harga lebih murah iaitu 220 ribu dong. Yang lebih mengembirakan, kami diberi kad untuk diskaun sebanyak 30% sekiranya menggunakan perkhidmatan yang sama ketika balik nanti.

Dalam perjalanan ke hotel, sangat teruja sebenarnya. Penduduk sana kebanyakan menggunakan motosikal. Jalan sangat sesak. Dan kebanyakan mereka juga akan memakai penutup mulut mungkin atas faktor pencemaran udara dari kenderaan lain.

Dalam perjalanan ke hotel (6:00pm)

Sebaik sahaja sampai di hotel, kami disambut dengan baik. Pintu teksi dibuka dan semua beg kami diangkat oleh pekerja hotel. Nama hotel yang kami tempah ialah Thanh Long Hotel. Terasa teruja sebentar. Haha.

Masuk ke dalam kami terus mendapatkan seorang wanita di kaunter. Riak wajahnya kelihatan tidak mesra. Terbantut keterujaan kami. Kami terus mengeluarkan dokumen yang berkaitan dengan tempahan dan pembayaran. Tiba-tiba sahaja wanita berkenaan mengatakan kami tidak boleh guna bilik yang ditempah kerana kami menempah untuk 2 orang. Bilik tersebut kecil dan tidak sesuai.

Sebenarnya kami sudah sedia maklum akan keadaan bilik tersebut. Kami memang sengaja ingin merasai nikmat bersempit oleh sebab itu kami memilih untuk menempah bilik untuk 2 orang dan mereka juga tahu kami berempat. Rasanya tidak salah di situ kerana tiada syarat pun sebelum ini.

Wanita itu tetap berdegil untuk tidak membenarkan kami menggunakan bilik tersebut. Dia mengatakan silapnya kami menempah melalui Expedia ( Website kami menempah flight dan hotel). Agak tidak logik di situ. Sempat juga Sarah bertekak dan bertikam lidah dengan wanita itu. Mengikut pengalaman lepas dan dari kawan-kawan sebelum ini, hal ini sepatutnya tidak menjadi masalah. Ohh.. Mungkin hotel ini sahaja atau mungkin wanita ini sahaja yang bermasalah. Hal ini kerana pekerja yang lain hanya mampu diam dan kelihatan serba-salah.

Wanita itu mensyorkan kami untuk memilih satu bilik yang besar. Katanya sangat luas dan selesa. Kami tidak berminat. Bila berbincang, kami berfikir untuk menempah lagi satu bilik kecil yang sama tadi. Wanita itu tetap juga berdegil untuk kami memilih bilik yang besar. Bila Sarah berkeras, tiba-tiba sahaja dia katakan bilik yang sama sudah tiada. Haihhh.. Nampak sangat menipu.

Bila fikirkan berada di negara orang, ada baiknya mengalah sahaja.Wanita tadi kelihatan memang sudah tidak sennag dengan kami. Apa lagi dengan Sarah yang dari tadi asyik berkeras.Hahahaha. Lantaklah!

Akhirnya, kami terpaksa menerima bilik yang besar dan yang lagi mahal. 700 ribu dong terbang. Haha. Agak terilan kerana bilik yang ditempah terpaksa 'burn' begitu sahaja. Bila dipersoalkan, alasan yang sama,

" Silap menempah di Expedia. Berurusanlah dengan Expedia " ( Dalam berbahasa inggeris).

Malas nak memanjangkan hal, terima seadaanya. Pekerja yang dari tadi hanya tergamam, berubah riak muka lega sebaik sahaja kami senyum tanda mahu naik ke atas. Semua beg kami diangkat oleh mereka. Wanita tadi masih di kaunter dengan muka bengis yang tidak terkawal.  Hahaha. :P

Bekalan dari Malaysia tersusun bawah meja.

Alhamdulillah bilik yang kami dapat sangat besar, selesa dan sebenarnya berbaloi dengan harganya. Cuma nikmat untuk bersempit-sempit tu tak dapatlah nak rasa. Bilik air pun luas dan tab mandi pun besar. Hahaha. Itu pun nak cerita.

Nampak tak makanan yang tersusun bawah meja tu? Itu kerja Piroh dan itulah bekalan yang kami bawa dari Malaysia. Iyalah. Nak dapatkan makanan halal perlu berjaga-jaga dan harga pun mahal. Untuk jimat, bawalah bekal apa yang patut seperti maggi, roti dan lain-lain.

Berehat sebentar. Oleh kerana passport kami dipegang oleh pihak hotel tadi sehingga pukul 10.00 malam, kami tidurkan diri dulu. Tepat jam 10.00 malam, kami bersiap dan turun ke bawah untuk dapatkan passport lalu terus berjalan ke Ben Thanh Night Market. Kami bertanya kepada pekerja hotel mengenai laluan ke night market dan terus berjalan kaki ke sana. Perjalanan mengambil masa 10 minit dari hotel.

Ben Thanh Night Market

Niat hati hanya mahu survey barang. Ramai rakan-rakan yang pernah pergi cakap, barang di night market lebih murah berbanding waktu siang di Ben Thanh Market. Dalam survey tu, terbeli juga keychain dan beg yang ditempah orang. Biasalah orang sini, mereka sangat menghargai sesiapa yang membeli dengan mereka. Sampai orang tawar harga mati pun, ada kalangan mereka yang sanggup beri. Tetapi, kalau sekali kita berminat dengan satu barang, sentuh sikit barang tu, dan setelah puas mereka pujuk atau tunjuk satu-satu tiba-tiba tak beli memang mereka marah. Hahaha.

Selesai.

Hampir 2 jam kami berjalan di sekitar night market. Dah dapat apa yang kami mahu, terus berjalan kaki untuk balik ke hotel. Waktu mahu keluar dari night market, kami sedikit keliru kerana kami masuk di jalan lain dan keluar di jalan lain. Apapun, kami terus mencari jalan keluar. Sebaik sahaja dapat keluar terus kami langkahkan kaki untuk pulang. Setelah hamppir 10 minit berjalan, kami fikir yang kami salah jalan atau kata lain sesat. Tiada klu langsung untuk kami ingat jalan pulang.

Tekak sudah mula haus. Kami ternampak seorang wanita menjual air di tepi jalan dan ada 3 orang pelanggan ada bersama. Kami membeli 3 jenis air. 1 tin RM 3 hingga RM4. Sedikit terkejut sebenarnya. Hahaha. Dalam terkejut tu, tiba-tiba seorang lelaki bersuara, 

" Tak apa, saya bayar semua.. "

Sangat fasih berbahasa melayu. Tiada langsung pelatnya. Kami cuba menolak tetapi lelaki itu tetap berkeras untuk membayar air-air kami. Syukur. Itu namanya rezeki.

Kami meneruskan niat mencari jalan. Hampir setengah jam, kami berjaya jumpa jalan pulang. Syukur. Ini baru namanya cabaran dan pengalaman. Semua lalui sendiri tanpa pertolongan mana-mana kecuali dengan izinNya, Tuhan Maha Pencipta.

Sampai di hotel kami terus mengemas apa yang patut dan rehatkan diri. Esok masih banyak misi yang perlu lakukan. Untuk hari pertama sahaja banyak perkara kami dapat. Banyak perkara juga kami belajar. Hidup dengan pengalaman sangat indah.

Bahagian 2 akan bersambung....



1 comment:

  1. Perjalanan yg mengesankan.. Mail lah ke tempat saya di Jogja kak sarah..

    ReplyDelete

© Pelangi Intisar | Blogger Template by Enny Law